Persatuan Belia India di Malaysia

Posted by Entech Student , Wednesday, April 14, 2010 9:02 AM

Masyarakat India Muslim telah bertapak di negara ini sejak 1780. Pada awalnya, kedatangan mereka ke Tanah Melayu untuk tujuan berniaga dan menyebarkan ajaran Islam di Malaysia.Masyarakat India Muslim turut berperanan dalam membangunkan ekonomi Tanah Melayu melalui bidang perniagaan seperti pengurusan restoran, barang kemas, tekstil, agensi pelancongan, perniagaan runcit dan sebagainya.

Kehidupan masyarakat India Muslim di Malaysia membolehkan golongan ini mengenali budaya dan adab masyarakat melayu tempatan.

Kini generasi masyarakat India Muslim semakin berkembang di tanah air ini, Justeru dengan perkembangan ini maka tertubuhnya idea untuk menubuhkan Persatuan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) sekitar awal tahun 1995. Setelah beberapa kali berbincang, merancang serta mengatur strategi akhirnya wujudlah Gepima yang didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara rasmi pada tahun 2006.Gepima diberi mandat menjalankan aktiviti-aktiviti memupuk semangat di kalangan belia khususnya dalam membantu masyarakat India Muslim umumnya.Gepima mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan jabatan-jabatan kerajaan.

Kini penaungnya ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin manakala penasihatnya ialah Datuk Dr. Mohd Iqbal dan Hishamudin Ubaidulla.

Gepima turut berperanan memberi ilmu pendidikan rohani dan jasmani yang melibatkan semua peringkat belia India Muslim dengan penganjuran aktiviti pengajian, latihan dan bimbingan seperti pendidikan, kebudayaan, falsafah dan teknologi.

Gepima adalah pencetus hasrat kerajaan dalam usaha untuk bergerak ke arah kehidupan yang sempurna berasaskan sifat-sifat hormat diri, berdikari, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam melahirkan satu bangsa yang bersatu, berilmu, beriman dan berdaulat.

Program lain yang turut diatur ialah bantuan kepada keluarga fakir miskin, warga emas, anak-anak yatim, sumbangan pelajar cemerlang peperiksaan, menganjurkan majlis tilawah al-Quran, azan, nasyid, kuiz, ceramah agama, program motivasi, program kutipan derma dan majlis kesihatan.

Gepima juga turut menyediakan beberapa Pusat Khidmat Sosial dalam memberi nasihat serta bimbingan kepada belia yang berminat untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

0 Response to "Persatuan Belia India di Malaysia"

Post a Comment