PENGENALAN BELIA

Posted by Entech Student , Tuesday, April 13, 2010 9:38 PM




Salam belia Malaysia..Belia merupakan organisasi terkuat dalam sesuatu organisasi masyarakat kerana belia lebih berinovasi mengubah masa hadapan sesuatu masyarakat.Oleh itu,disediakan pengenalan belia dan juga peranan mereka secara umum.



Pembangunan belia adalah satu isu penting dalam pembangunan negara.Namun begitu subjek pembangunan belia ini masih dianggap sebagai satu isu yang mudah dan kurang mendapat perhatian.Belia merupakan pewaris negara dan masa depan negara adalah bergantung kepada generasi belia pada hari ini.Banyak usaha dan kewangan telah dicurahkan untuk memberi peluang kepada generasi muda membuat persediaan mewarisi untuk negara ini.Usaha pembangunan belia bukanlah satu perkara yang mudah.Ini kerana hanya program belia yang berjaya sahaja berjaya menarik ramai golongan remaja untuk menceburi pelbagai aktiviti yang disediakan.Pelbagai program kini harus dirancang dan dilaksanakan bagi membolehkan golongan belia di kawasan pentadbiran dapat mengisi masa terluang mereka.Setiap program harus dirancang dengan teliti supaya ia benar-benar dapat memberi manfaat kepada para belia dan mencapai matlamat seperti yang diharapkan.Melalui aktiviti-aktiviti tersebut,para belia khususnya golongan pelajar atau pekerja kilang boleh meningkatkan pengetahuan dan pengalaman dengan menyertai program yang disediakan.Golongan remaja biasanya mempunyai banyak masa terluang dan keadaan tersebut boleh merugikan mereka sekiranya tidak diisi dengan kegiatan-kegiatan yang berfaedah.Sehubungan itu,kerajaan telah mengambil inisiatif dengan mengadakan program-program terbabit supaya para remaja dan orang ramai dapat menceburkan diri mereka dan mendapat faedah daripadanya.



Para pemimpin belia perlu memanfaatkan peluang yang ada untuk mencari satu titik tolak bagi memajukan golongan belia dalam pelbagai bidang dan harus digesa untuk mencari resolusi yang lebih mantap dan berkesan untuk diterjemahkan sebagai satu pelan tindakan kepada agenda pembangunan belia.Pembangunan belia tidak terbatas kepada satu kaedah semata-mata kerana pelbagai media boleh digunakan untuk meransang mereka.Pelbagai aspek perlu diambil kira kerana semangat yang berkobar-kobar sahaja tidak memadai tanpa diiringi pengurusan atau perancangan yang relevan,seiring perubahan masa,pertubuhan belia perlu merangka strategi lebih berkesan untuk memastikan belia tidak lagi dibelenggu oleh masalah-masalah sosial.Belia negara ini perlu disedarkan bahawa mereka ialah pewaris negara dan mesti menghindari pelbagai aspek negatif seperti gegala sosial yang boleh meruntuhkan sesebuah institusi negara.Peranan yang perlu dimainkan oleh pemimpin belia di semua peringkat adalah berat kerana mereka mempunyai tanggungjawab sosial untuk membawa belia negara ini untuk menjadi orang yang bersama-sama membangunkan negara.Perjuangan pemimpin belia terdahulu telah berjaya membawa generasi kita keluar daripada kepompong kemunduran serta mampu melahirkan masyarakat berwawasan,progresif dan dinamik dalam pelbagai bidang kerjaya.



Selain itu,dengan wujudnya persatuan-persatuan belia di Malaysia,ia mampu untuk meningkatkan gaya hidup yang dinamik dan pro-aktif.Semangat sukarelawan yang ada dalam aktiviti persatuan belia amat penting sebagai salah satu gaya hidup yang baik untuk membina semangat kerjasama di kalangan masyarakat moden.Kurangnya semangat sukarelawan memberi kesan negatif kepada institusi kemasyarakatan dan menyebabkan kelesuan di kalangan pertubuhan-pertubuhan belia.Persatuan belia seumpama ini bermatlamat untuk membangunkan belia agar menjadi belia yang berketrampilan seimbang melalui dasar dan program pembangunan belia yang komprehensif.



Usaha pembangunan belia tidak boleh dijalankan secara "tangkap muat" mengikut selera dan minat individu atau kelompok tertentu.Usaha pembangunan belia tidak boleh dijalankan dalam konteks yang terasing daripada ekologi di mana belia,rakan sebaya dan keluarga mereka tinggal dan berinteraksi.Masyarakat dan institusi perlu memberikan peluang untuk belia negara ini membangun dalam perkara penting seperti kemahiran,keyakinan,keperibadian dan sebagainya.
Mereka yang terbabit dengan pembangunan belia di Malaysia perlu melihat realiti semasa dan yang akan datang.Perubahan yang berlaku di sekeliling memerlukan kita mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengambil kira seperti menggunakan penyelidikan dalam perancangan dan penilaian program pembangunan belia.Persatuan-persatuan belia perlu menjana semula pendekatan baru yang lebih efisien dan efektif.Mengolah atau menyusun semula pendekatan dan strategi sedia ada akan terus membantutkan perkembangan belia secara efektif kerana falsafah pendekatan pembangunan belia yang baru memerlukan imaginasi baru yang sudah tidak boleh dipenuhi oleh pendekatan yang lama.Anjakan paradigma bukan sahaja melibatkan pemikiran semula,tetapi juga perlu lebih inovatif dan kreatif dalam mengilham dan melaksanakan program.Penyelidikan dan penilaian adalah satu komponen penting yang perlu diberikan perhatian.Perkara ini bukan sesuatu yang baru di negara barat di mana institut penyelidikan belia diberikan keutamaan dan peranan penting dalam perancangan dan perlaksanaan program.Sudah sampai masanya usaha pembangunan belia di negara ini memasuki perspektif baru yang lebih saintifik dan sistematik dengan memberikan penekanan kepada penyelidikan sebagai satu teras untuk menuju ke hadapan.













0 Response to "PENGENALAN BELIA"

Post a Comment